Isnin, 24 Oktober 2011

Sastera.com: Kurang sokongan kerajaan punca sastera Arab tidak tersebar
2011/10/25

LAMAN web The Voice of the Middle East di alamat www.mideastposts.com
LAMAN web The Voice of the Middle East di alamat www.mideastposts.com
LAMAN web The Voice of the Middle East di alamat www.mideastposts.com menyorot isu kekurangan sokongan dan dana kerajaan secara langsung di Asia Barat dalam bidang penterjemahan karya sastera Arab.

Isu itu dibangkitkan oleh Sastera Merentas Sempadan (LAF) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) selepas mengendalikan bengkel terjemahan di Universiti Ain Shams, Kaherah.
Pengarah LAF, Alexandra Buchler, berkata bengkel itu mendedahkan kekurangan sokongan daripada pihak berwajib meskipun ramai peserta bengkel teruja untuk menterjemahkan sastera asing ke dalam bahasa Arab.
“Antara dapatan yang jelas daripada bengkel itu adalah kerajaan Mesir dan negara berbahasa Arab yang lain tidak banyak mempromosi pengarang mereka di luar negara.

“Kegagalan itu juga menjadi isu perbincangan utama apabila LAF membentangkan laporan terjemahan bahasa Arab-Inggeris di ibu pejabat British Council, baru-baru ini,” Buchler dipetik berkata.

Laporan yang yang meliputi jangka masa 1990 hingga 2010 itu, kata Buchler, bertujuan untuk membuat pemetaan aliran terjemahan di rantau Euro-Mediterranean, sekali gus dapat mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikkan.

Sastera Arab diakui melalui anjakan besar sejak 25 tahun apabila Naguib Mahfouz memenangi Hadiah Nobel pada 1988 berbanding sebelum itu yang menyaksikan aliran terjemahan sastera Arab ke dunia hanya dibawa segelintir individu seperti Denys Johnson-Davies.
Bagaimanapun, Buchler menegaskan, peningkatan perhatian masyarakat asing terhadap sastera Arab memerlukan gerak kerja besar daripada kerajaan untuk mempromosikan penulis mereka kepada dunia luar.

“Ini berbeza dengan kerajaan Turki dan Israel serta Eropah yang memberikan sokongan subsidi dan mempromosikan terjemahan sastera mereka tetapi tiada sokongan yang sama daripada kerajaan Arab.

“Tidak ada penajaan secara langsung kerajaan Arab dalam penterjemahan karya pengarang Arab yang masih hidup ke bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain,” Buchler dipetik berkata.

Berbanding pengarang negara lain yang mendapat bantuan boya daripada kerajaan mereka, Buchler mengibaratkan pengarang berbahasa Arab dibiarkan sama ada lemas atau berenang sendirian dalam pasaran asing.

Sementara itu, pengarang bersama Laporan Terjemahan Sastera Daripada Bahasa Arab, Hebrew dan Turki di UK dan Ireland 1990-2010, Alice Guthrie, berkata Dana Naguib Mahfouz untuk Terjemahan Sastera Arab tidak digunakan seperti yang disahkan oleh American University in Cairo (AUC) Press.

“Wakil AUC Press, Neil Hewison mengesahkan wang dalam dana itu tidak kecukupan, selain ia seolah-olah hanya wujud ‘secara teori’.

“Beberapa projek yang menerima dana kerajaan turut menjadi kayu ukur kepada bantuan terjemahan seperti Projek Kalima yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pusat Terjemahan Kebangsaan Mesir,” Guthrie dipetik berkata.

Usaha terbaru, Guthrie berkata, ialah Perpustakaan Sastera Arab yang menerima dana daripada Abu Dhabi untuk penterjemahan karya pramoden sastera Arab ke bahasa Inggeris.

Kelemahan itu turut disorot oleh wakil British Council, Cathy Costain, melalui usaha kerajaan Mesir untuk mempromosi sastera negara itu kepada penerbit buku dalam bahasa asing di bawah Organisasi Buku Mesir dengan mengumpulkan novel berbahasa Arab yang boleh diterjemahkan.

“Bagaimanapun, natijahnya boleh dianggap ‘tragik’ kerana terjemahan bahasa Inggeris yang tidak mencapai piawai, reka bentuk yang lemah dan kekeliruan dalam hak cipta,” Costain dipetik berkata.

Di sebalik kelemahan penterjemahan itu, tidak dinafikan karya sasterawan mapan seperti Ibrahim Aslan, Elias Khoury dan Mahmoud Darwish boleh diperoleh dalam terjemahan bahasa Inggeris, selain memenangi anugerah buku terjemahan, manakala pengarang popular seperti Alaa al-Aswany pula berjaya memasuki pasaran dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Template Design By Nur Cahaya | Copyright-2011 | Protected